IPOH - Semua lapisan warga bandaraya Ipoh dipelawa untuk mengemukakan sebarang idea dan cadangan dalam Bajet 2023 yang kini dalam proses penyediaan.

Ia bagi memastikan Bajet 2023 disediakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) secara inklusif.

Idea dan cadangan ini bolehlah disalurkan menerusi laman sesawang rasmi MBI atau imbas kod QR yang disediakan mulai hari sehingga 30 Jun 2023 kelak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, warga bandaraya ini wajar menggunakan platform ini dengan sebaik-baik mungkin untuk dijadikan sebagai input dalam penyediaan bajet.

"Bajet tersebut melibatkan program pembangunan fizikal, sosial, kawalan perancangan dan perkhidmatan bandar yang perlu direncana secara terancang demi kesejahteraan dan keharmonian kita bersama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei 2022 di Dewan Majlis Mesyuarat MBI hari ini.

Dalam pada itu kata Rumaizi, sehingga 23 Mei MBI memperoleh hasil sebanyak RM 109.3 juta atau 49 peratus berbanding anggaran hasil bagi tahun 2022 iaitu RM221 juta.

Manakala kutipan yang diperoleh adalah sebanyak RM128.2 juta iaitu 58 peratus dari anggaran hasil yang ditetapkan tersebut.

Katanya, kutipan ini adalah termasuk kutipan semasa, tunggakan serta terimaan terdahulu setakat 23 Mei.

"Secara keseluruhan, Majlis berbelanja berdasarkan batas bajet dan masih di tahap kawalan.

"Perbelanjaan keseluruhan Majlis sehingga pertengahan Mei 2022 adalah sebanyak RM81.8 juta atau 35 peratus dari bajet yang telah dibataskan dengan bilangan transaksi pembayaran sebanyak 3,345 baucer," ujar beliau.