KUALA KANGSAR - Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa menjala ikan di pesisir Lembah Sayong di sini malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.35 malam.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar telah dikerah ke lokasi kejadian.

"Mangsa lelaki Melayu berusia 26 tahun melakukan aktiviti menjala ikan sebelum dia dipercayai lemas.

"Operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan malam sebelum disambung semula pukul 8.30 pagi tadi," ujar jurucakap itu.

Khidmat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah digunakan yang membuat selaman dan pencarian di lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Bot penyelamat juga membuat pencarian dalam jarak tiga kilometer dari lokasi.

Operasi yang diketuai PKPgB Ahmad Izuwan Zakaria itu melibatkan seramai 10 anggota bomba, polis (15) dan empat Angkatan Pertahanan Awam dibantu tujuh bot.