IPOH - Agihan tong sampah percuma kepada penduduk sekitar Pasir Pinji merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi memastikan kawasan masing-masing bebas daripada sampah haram.

Menerusi pemberian tong sampah berkenaan, setiap rumah mempunyai tanggungjawab memastikan sampah tidak diletakkan di luar yang boleh mengundang kehadiran haiwan liar.

Ahli Majlis MBI Zon 14, Dr. Richard Ng berkata,dengan penyediaan tong sampah baharu itu kutipan sisa domestik lebih teratur dan tidak menyebabkan sampah bertaburan.

Katanya, ini termasuk tidak lagi meletakkan sampah di tepi jalan atau menggantung pada tiang elektrik di mana ia turut mencacatkan pandangan.

"Pada fasa pertama lalu kita agihkan 500 tong sampah dan fasa kedua ini 500 manakala fasa berikutnya jumlahnya akan ditambah.

"Pada hari ini kita agih 300 unit tong sampah kepada 300 penerima atau wakil rumah yang diadakan di Dewan Komuniti Pasir Pinji manakala pada petang kepada penduduk di Taman Kampar.

"Selain itu kita juga akan agih tong sampah dari rumah ke rumah melibatkan penerima golongan orang kelainan upaya dan warga emas," ujarnya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Pemberian Tong Sampah Percuma Zon 14 Pasir Pinji sempena sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-34 di Dewan Komuniti Pasir Pinji.

Kebanyakan penerima tong sampah pula terdiri daripada keluarga golongan B40.

Dalam pada itu kata Richard, sebaik selepas agihan tong sampah berkenaan pihaknya dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat melaksanakan kerja-kerja membersihkan lokasi sampah haram sekitar Pasir Pinji.

Antara NGO yang terlibat seperti Lions Club of Perak Silver State, Ipoh City Watch, Kelab Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pinji, KRT Boon Bak, Bomba Sukarela Pasir Pinji, JPP Pasir Pinji dan
S. Ravi Plastic Sdn. Bhd.

Kata Richard, hasil tinjauan pihaknya mendapati terdapat 25 lokasi sampah haram.

"Kebanyakan lokasinya merupakan kawasan sama yang telah pun dibersihkan pihak MBI sebelum ini tetapi dilonggokkan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Walaupun ini merupakan inisiatif kami bersama NGO tapi pada pihak masyarakat setempat perlulah memainkan peranan dengan tidak membuang sampah di tempat tidak sepatutnya," ujar beliau.