LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan, malam tadi.

Penahanan yang dibuat pada jam 9.59 malam itu turut menyaksikan dua lelaki yang dipercayai warganegara Indonesia ditahan.

Kedua-duanya, masing-masing berusia 33 dan 46 tahun, ditahan dan diberkas atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan hari ini berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot yang mencurigakan, berkelajuan tinggi bergerak dari Tanjung Balai, Indonesia dan disyaki menuju ke Pulau Che Kamat, Johor.

"Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Gempita di lapangan untuk tindakan lanjut.

"KD Gempita seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1124 dan bot pemintas Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas bot tersebut," katanya.

Menurut kenyataan itu, menyedari kehadiran bot TLDM, bot berkenaan bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara.

"Dalam kekalutan untuk meloloskan diri, bot curiga telah bertindak agresif dan mengakibatkannya terbalik di lokasi 3.3 batu nautika selatan Pulau Che Kamat.

"Hasil tindakan pantas krew FCB 1124 dan RHIB Lepau telah berjaya menyelamatkan dua orang mangsa lelaki dipercayai PATI," katanya.

Ujarnya lagi, kedua-dua PATI yang diselamatkan telah dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk diserahkan kepada Tim Op Merpati bagi soal siasat dan ujian saringan COVID-19.

"Siasatan lanjut mendapati bot itu hanya membawa dua individu dipercayai PATI semasa kejadian.

"PATI yang diberkas akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Ujarnya, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh dapat dipatahkan baik di laut mahupun darat.