KUALA KANGSAR : Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) memohon maaf atas kelewatan pihaknya membuat kutipan sampah kebelakangan ini di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya, Zulqarnain Mohamad berkata bagi mengatasi masalah berkenaan, pihaknya telah membeli sebuah lori kompaktor bagi pengendalian kutipan sampah di daerah itu.

Zulqarnain berkata pembelian lori sampah itu bertujuan menggantikan lori lama yang bermasalah.

Selain menangani isu gangguan kutipan sampah yang dihadapi oleh penduduk sekitar daerah ini sejak bulan Mei lalu.

"Kita (MPKK) memohon maaf kepada warga Kuala Kangsar atas kelewatan kutipan sampah di dalam kawasan pentadbiran ini.

"Pembelian lori ini juga antara usaha yang diambil bagi menangani isu utama ini. Selain daripada itu, team pembersihan MPKK juga bekerja melebihi masa bagi menyelesaikan tugas pengambilan sampah dikawasan-kawasan yang tertunda," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam masa sama katanya, pertembungan musim perayaan dan permasalahan daripada kontraktor sedia ada turut menyebabkan kadar sampah harian meningkat.

Bagaimanapun ujarnya, pemulihan gangguan kutipan sampah itu telah beransur pulih di beberapa buah kawasan dengan menggunakan jentera sedia ada.

"Dijangkakan operasi akan kembali seperti sedia kala dalam masa terdekat.

"Selesai sahaja majlis penyerahan lori kompaktor, kenderaan tersebut dengan plat AME 4199 terus memulakan tugas bersama anggota kerja MPKK membantu menyelesaikan kemelut sampah di daerah ini," katanya lagi.