IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas kasut wanita dan kanak-kanak tiruan bernilai RM87,979 selepas menyerbu sebuah pusat membeli belah ternama, di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini pagi tadi.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tindakan itu dilakukan susulan aduan dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang.

Katanya operasi tersebut bermula pada jam 10.30 pagi dan ketika serbuan, seorang lelaki iaitu pemilik premis dan seorang pekerja wanita berada di tempat kejadian.

"Pemeriksaan telah dijalankan bersama pemilik perniagaan dan pengadu ke atas premis tersebut.

"Pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada barangan terbabit,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Saifullizan berkata pemeriksaan lanjut menemukan 1,245 unit kasut wanita dan kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna yang menggunakan cap dagangan
berdaftar berjenama terkenal.

"Selain itu 800 unit beg plastik menggunakan label bertanda berjenama terkenal, disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar.

"800 unit pelekat berjenama terkenal, bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut,"katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

Beliau turut memberikan amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan terutamanya dengan tidak menjual barangan tiruan.

Ia bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang tersebut.