GOPENG - Sistem pelesenan digital, myPATIL yang digunakan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menarik minat pihak berkuasa tempatan (PBT) lain untuk berkongsi maklumat mengenainya.

myPATIL iaitu Lesen Premis Perniagaan Digital Berasaskan Teknologi Pintar dan Internet of Things (IoT) dibangunkan oleh pakar teknologi tempatan.

MPM menjalankan kerjasama dengan Gates IT Solution Sdn Bhd sejak 1 September lalu bagi melaksanakan myPATIL.

Ia menggantikan kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen dan diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih yang dapat memudahkan operasi penguatkuasaan yang lebih efisien dan telus.

Terbaru, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn),
Johor berkunjung ke MPM bagi mendapatkan gambaran serta perkongsian penggunaan aplikasi pintar tersebut.

MPM dalam kenyataan pada laman Facebook memaklumkan, kunjungan diketuai Setiausaha MPPn, Hisyamudin Amat serta wakil-wakil daripada Bahagian Teknologi Maklumat, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.

Objektif utama lawatan adalah untuk berkongsi maklumat dan mendapatkan pendedahan berkaitan pelaksanaan myPATIL oleh MPM.

"Terdahulu ketibaan mereka disambut Yang Dipertua MPM, Syamsul Azman Mohd Salleh yang kemudian memberikan penerangan pelaksanaan myPATIL.

"Selesai sesi taklimat, rombongan telah dibawa untuk sesi lawatan teknikal," ujar kenyataan itu.

MPM menjadi PBT pertama di negara ini melaksanakan sistem pelesenan digital atau dalam talian sepenuhnya dan secara menyeluruh.

Menerusi pemasangan peranti aplikasi myPATIL sejak 8 November lalu, sebanyak 8,800 lesen perniagaan didaftarkan secara digital.