IPOH - Pembinaan paip penyelenggaraan pembentungan awam yang terbengkalai selama dua tahun di Taman Sri Perkasa di sini menimbulkan tanda tanya pada penduduk setempat.

Disebabkan kerja-kerja yang masih belum siap telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas selain membahayakan pengguna jalan raya khususnya pada waktu malam.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, pihaknya menerima aduan penduduk berhubung perkara itu dan mahu mendapatkan gambaran sebenar berhubung kerja-kerja berkaitan.

"Susulan aduan tersebut saya telah turun padang untuk meninjau bersama mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Alex Chan Chin Chee dan Naib Bendahari MCA Gopeng, Johnson Low.

"Saya juga terus menghubungi kontraktornya iaitu Pintas Utama. Terima kasih pada jurutera, Puan Shida yang datang ke tempat aduan dengan segera," ujarnya.

Satu sesi perbincangan telah diadakan bagi memutuskan jalan penyelesaiannya.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dalam masa beberapa minggu ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat.