TAPAH - Sebanyak 5,579 majikan telah diperiksa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi Ops Kesan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang dilancarkan pada 8 Jun lalu.

Hasilnya 1,124 kompaun dan lapan arahan pematuhan dikeluarkan pada majikan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak 833 kompaun bagi kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Menurut beliau, manakala 291 kompaun dan lapan arahan pematuhan pula dikeluarkan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

"Hasil pemeriksaan kita mendapati banyak majikan belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka di bawah Akta 4 dan Akta 800 iaitu kira-kira 20 peratus daripada yang diperiksa.

"Justeru itu, kita akan meningkatkan usaha untuk melawat majikan-majikan dan memastikan mereka mendaftar dan membuat caruman untuk pekerja," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Tapah.

Terdahulu program tersebut dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Pada Rabu di Shah Alam, Mohammed mengingatkan pemilik semua jenis perniagaan besar atau kecil perlu mencarum pekerja mereka dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ini termasuklah gerai tepi jalan seperti menjual nasi lemak dan pisang goreng kerana mereka tidak terkecuali sekiranya pemeriksaan dilakukan.

Berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) mewajibkan majikan mencarum sekiranya mempunyai walaupun seorang pekerja.

Akta tersebut tidak mengecualikan mana-mana majikan supaya melunaskan tanggungjawab.