Sepatah ditanya, sepatah dijawab.

Tetapi bukan bermaksud gadis berusia 25 tahun ini sombong, yang mengenalinya pasti tahu bahawa dia seorang yang agak pemalu.

Namun, dalam sifat pemalu itu dia ada kemahiran yang tidak ramai miliki dan mungkin dicemburui, iaitu menebar roti canai.

Nur Azierah Abd Aziz atau mesra disapa Angah berkata, dia sudah mula menebar roti canai ketika berusia 15 tahun lagi.

Ketika di bangku sekolah, dia dan adik beradik lain sering membantu ibu dan ayahnya, Abd Aziz Idris, 54, di gerai.

Mungkin bagi yang mengenali keluarga ini, pasti tahu mereka sudah berkecimpung dalam perniagaan berasaskan roti canai sejak tahun 2010.

Bercerita lebih lanjut mengenai perniagaan keluarga itu, Angah berkata dia kini membantu mengusahakan gerai makan keluarga secara sepenuh masa di Taman Sri Kanthan, Chemor.

Jelas anak kedua daripada lapan beradik ini lagi, dia dan beberapa adik beradik lain mahir membuat dan menebar roti canai.

"Saya selalu bantu ayah buat doh roti canai, dari kecil tengok ayah buat. Lama kelamaan pandai dan tahu tebar roti.

"Dalam keluarga ada lima perempuan dan tiga lelaki. Tiga daripada kami (perempuan) pandai tebar roti. Boleh kata kebanyakannya kerja dengan ayah.

"Begitu juga adik lelaki yang sekarang usahakan warung roti canai sendiri di Chemor," katanya kepada Peraktastic.

Ditanya tentang perasaannya menjadi salah seorang penebar roti canai wanita, Angah berpendapat pekerjaannya itu memang mencabar dan menyeronokkan.

"Pada mulanya memang saya rasa malu sebab kebanyakan yang tebar dalam kalangan lelaki.

"Tetapi rasa malu itu hilang perlahan-lahan, ditambah dengan maklum balas daripada pelangan.

"Kalau nak kata kena usik ke apa, itu perkara biasa. Bukan usik ke arah negatif tapi dengan memberi komen membina.

"Sebab mereka kata tak ramai wanita pandai tebar roti, ramai yang tertarik dan ada yang puji saya dengan skil ini, alhamdulillah, " katanya lagi.

Memandangkan trend sekarang yang menggunakan platform media sosial untuk perniagaan, Angah kini dalam perancangan mempertimbangkan idea tersebut.

"Ada juga terfikir nak hasilkan video dan letak di media sosial seperti Youtube, Tik Tok dan sebagainya. Tapi banyak kali tangguh sebab saya segan.

"Ramai yang bagi galakan dan cadangan untuk buat video, mereka kata itu salah satu strategi nak perkenalkan bisnes. InshaAllah saya akan pertimbangkan idea itu," ujarnya.

Menyentuh tentang cita-cita dan perancangan masa depan, dia mahu menghasilkan roti canai sejuk beku sebagai salah satu produk tambahan bagi menjana pendapatan.

Katanya, jika hasrat itu tercapai, dia akan mempromosikan produk itu di kawasan setempat di Chemor terlebih dahulu, sebelum dipasarkan di lokasi lain.

Untuk makluman, gerai di sini sinonim dengan roti canai yang dimakan bersama kuah kari kaki ayam.

"Sesetengah orang cakap roti canai di sini lembut dan berbeza dengan kedai lain.

"Pelanggan selalunya suka makan roti canai dengan kuah kari kaki ayam, ada juga yang minta supaya roti canai itu nipis dan garing, terpulang kepada selera masing-masing," katanya menutup perbualan.