IPOH: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Perak menzahirkan kekecewaan dan bantahan berhubung keputusan kerajaan negeri yang meneruskan projek perlombongan nadir bumi di Hulu Perak.

Ketuanya, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata sebarang keputusan perlu mengambil kira pandangan dan kajian yang mendalam oleh badan-badan bukan kerajaan dan mereka yang pakar dalam bidang pemuliharaan alam sekitar dan kesihatan awam.

"Walaupun terdapat bantahan meluas daripada pihak berkepentingan berhubung kesan kaedah perlombongan yang digunapakai oleh syarikat usahasama daripada negara China ini.

"Dikatakan bahawa kerajaan Pusat negara China pada Jun 2011 telah menguatkuasakan pengharaman perlombongan permukaan dan melarutserapkan dalam tangki atau timbunan ketika melaksanakan pelarutserapan bagi nadir bumi ini.

"Di mana kaedah melombong yang tidak mesra alam dan selamat ini dikatakan boleh memberikan implikasi teruk terhadap kesan dampak alam sekitar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dakwanya lagi, Menteri Besar Perak seakan-akan tidak peduli dan tidak mengendahkan pandangan daripada mereka yang pakar dalam isu alam sekitar.

"Pejuang Perak juga mempersoalkan bagaimana operasi perlombongan boleh dimulakan sebelum laporan EIA diluluskan?

"Kami memohon agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sekiranya terdapat sebarang bentuk amalan rasuah atau salah guna kuasa dalam kelulusan projek ini," katanya.

Dalam pada itu Mior Nor Haidir berkata, Pejuang Perak memohon penjelasan daripada pihak kerajaan negeri sama ada perlombongan tersebut selamat kepada alam sekitar dan rakyat.

"Sekiranya didapati ia boleh memudaratkan rakyat dan alam sekitar, maka ingin kami menegaskan bahawa kami menolak dan menentang sekeras-kerasnya sebarang keputusan ini yang dilihat boleh mengancam nyawa dan kesihatan rakyat negeri ini," katanya lagi.

Sabtu lalu media melaporkan, operasi perlombongan lantanid iaitu sejenis nadir bumi di Hulu Perak, masih belum dimulakan, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dipetik berkata, imej yang ada di kawasan berkenaan adalah kerja-kerja awalan seperti membuat jalan dan kolam tadahan.

Menurutnya, imej yang dipaparkan melalui satelit itu adalah struktur lama yang dibuat untuk kerja-kerja awalan bagi mengenal pasti kehadiran bahan tersebut di kawasan berkenaan.