Ipoh: Pihak pengurusan Econsave memperuntukkan lebih RM20,000 bagi melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) menerusi Econsave Prihatin sehingga pertengahan tahun ini.

Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Oii Kean Hock berkata selaku rakan strategik bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sehingga kini pihaknya tidak pernah menolak sebarang aktiviti dalam menyalurkan bantuan kepada orang ramai.

“Econsave mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menderma menerusi bantuan ‘Bakul Rezeki’ yang kami anjurkan. Sumbangan itu sangat memberangsangkan dan kami juga telah menambah barangan-barangan lain untuk disumbangkan kepada yang memerlukan.

“Terima kasih juga kepada Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin yang telah menjadikan kami sebagai rakan strategik untuk bersama-sama bergabung tenaga dalam menjayakan aktiviti MBI Prihatin”, katanya kepada Peraktastic selepas penyerahan barangan makanan bernilai RM1000.00 oleh Datuk Bandar kepada Pengetua Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Yassin, Norizan Razali.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud Pengurus Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud berkata lebih RM2 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban penduduk, peniaga, anggota dan mantan anggota MBI dalam meneruskan kehidupan mereka yang terkesan dalam situasi pandemik dan endemik Covid-19.

“Sokongan yang diberikan oleh rakan strategik seperti pasar raya Econsave, Kinta Properties, Kuala Lumpur Kepong (KLK) serta penaja lain telah membuktikan satu kerjasama yang jitu dan ternyata berjaya membantu meringankan golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Matlamat MBI Prihatin bukan sahaja membantu tetapi kita dapat berkongsi masalah yang hadapi serta mencari jalan penyelesaian sebagai contohnya membuka peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak rakan strategik ”, katanya.

Pengetua Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Yassin, Norizan Razali turut terharu diatas sumbangan yang diterima sejak sekian lama dari pihak MBI dan Econsave.

“Saya mewakili penghuni -penghuni pusat jagaan ini yang terdiri dari 15 orang anak-anak yatim, mengucapkan terima kasih kepada Econsave dan MBI yang selama ini sentiasa membantu dalam apa juga masalah yang kami hadapi.

“Semoga program MBI Prihatin ini akan berterusan sebagai platform MBI untuk menjadikan Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera”, katanya.