IPOH - Penduduk RPT Pekan Lama Tanjung Rambutan yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kinta bakal menerima manfaat apabila kerja-kerja menaik taraf longkang di kawasan tersebut siap.

Kawasan berkenaan sebelum ini kerap dilanda banjir kilat apabila hujan lebat.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 2, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada MBI, Jabatan Kerja Raya daerah dan Pejabat Pegawai Daerah atas penglibatan tersebut.

Menurut beliau, ucapan terima kasih juga diberikan pada Pejabat Penghulu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak-pihak yang terlibat.

"Melihat muka salah seorang penduduk iaitu Makcik Peah begitu seronok apabila saya maklumkan permohonan naik taraf lokang telah diluluskan dan kerja-kerja pun sudah.

"Semoga dengan naiktaraf longkang baru ini tidaklah berlaku lagi kejadian banjir apabila hujan turun," ujarnya semasa melakukan tinjauan pada Selasa lalu.

Kampung Pekan Lama ini dipercayai dibuka pada tahun 1950an tetapi kini cuma tinggal lima buah rumah perkampungan asal sahaja manakala kawasan sekitarnya membangun dengan taman-taman perumahan.

Dalam pada itu, tinjauan turut dilakukan di Lorong Dewan 2 setelah menerima aduan daripada JPKK dan penduduk Batu 6 DUN Ulu Kinta.

Ia berhubung tindakan pihak kontraktor hendak meratakan tanah berdekatan kawasan projek perumahan dengan kediaman penduduk.

Perkara itu tidak dipersetujui selain bimbang akan merosakkan tabah dan jalan di situ apabila siap nanti.

"Saya telah berjumpa dengan wakil penduduk dan wakil kontrator untuk tindakan segera menyelesaikan masalah ini.

"Insyallah saya akan panjangkan masalah ini kepada pihak MBI bagi langkah seterusnya," ujar beliau.