IPOH - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak telah menjalankan Ops Gerak bersama Polis DiRaja Malaysia di Kilometer 19, Jalan Lumut - Ipoh pada Rabu lalu.

JAS negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, operasi tersebut bagi menguatkuasakan kawalan pelepasan daripada kenderaan perdagangan berenjin diesel.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan berkenaan adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

"Sebanyak 99 kenderaan telah disaring melalui pemeriksaan secara visual dan hanya 37 kenderaan sahaja yang diuji menggunakan meter.

"Daripada jumlah itu 10 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas kesalahan melepaskan asap hitam melebihi had yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996," ujar kenyataan itu.

Sebanyak 11 notis pula mengikut Arahan Ujian Semula di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pemilik kenderaan yang tidak patuh.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan diingatkan supaya kenderaan berkeadaan baik dan mematuhi undang-undang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.