IPOH - Isu pembinaan paip penyelenggaraan pembentungan awam yang terbengkalai sejak dua tahun lalu di Taman Sri Perkasa di sini selesai setelah tindakan susulan diambil.

Ia berikutan langkah proaktif kontraktornya, Pintas Utama Sdn. Bhd. menyelesaikan permasalahan tersebut.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas tindakan segera yang dilakukan sekali gus melegakan penduduk setempat.

Menurut beliau, ini menunjukkan aduan yang dibuat penduduk diambil perhatian pihak kontraktor terutama berkaitan kebimbangan tentang keselamatan.

"Hanya mengambil masa kurang seminggu selepas aduan dibuat, isu keselamatan paip penyelenggaraan pembentungan awam di Taman Sri Perkasa yang terbengkalai selesai.

"Terima kasih dan syabas pada Pintas Utama atas tindakan pantas yang dibuat dan juga menurap semula jalan yang terlibat demi keselamatan pengguna jalan raya," ujarnya.

Kata Cally lagi, pasukannya akan sentiasa membuat pemantauan dan tinjauan di kawasan Parlimen Gopeng bagi memastikan kontraktor infra yang terlibat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan yang ditetapkan.

Pada masa sama jelasnya, segala masalah penduduk setempat dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.