KUALA KANGSAR: Lebih 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam program Jerlun, Perak Job Carnival 2022 yang dianjurkan bermula hari ini, di Kampung Baharu Jerlun di sini.

Program yang julung julung kali dianjurkan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada anak jati Perak khususnya di dalam bidang profesional dan tenaga kerja am.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata karnival berkenaan dianjurkan oleh Zurich Infrastructure Sdn Bhd., iaitu syarikat tempatan yang bakal menjayakan satu projek infrastruktur baharu di negeri ini.

Katanya lagi, Kampung Baharu Jerlun dipilih sebagai lokasi utama karnival, bersesuaian dengan salah satu laluan lebuh raya baharu yang dicadangkan dibina di Perak.

"Jerlun merupakan satu daripada cadangan untuk kawasan rehat dan rawat (RnR), atau interchange kepada West Ipoh Span Expressway (WISE) dari Gopeng ke Kuala Kangsar, yang dimulakan di sini.

"Karnival ini dianjurkan oleh Zurich Infrastructure Sdn Bhd. sebagai kontraktor utama kepada lebuh raya WISE," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jerlun, Perak Job Carnival 2022, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengarah Urusan Zurich Infrastructure Sdn. Bhd. Ahmad Sahill Zainal Abidin.

Sementara itu, Ahmad Sahill berkata pihaknya berhasrat untuk memastikan semua kerja pembinaan projek baharu itu dapat dijayakan seratus peratus oleh tenaga keraja anak tempatan.

"Buat masa sekarang cadangan projek (WISE) masih lagi dalam proses perbincangan. Jadi agak terlalu awal saya boleh kata bila ia akan bermula.

"Tawaran pekerjaan yang kita disediakan secara holisitik, membabitkan tenaga kerja am dan profesional.

"Alhamdulillah sambutan amat baik, ada datang walk in seawal jam 6.30 pagi," katanya.

Karnival itu berlangsung selama empat hari, bermula hari ini hingga 21 Jun.

Sesi temuduga secara walk-in bermula jam 7 pagi hingga 4 petang.

Tinjauan di karnival itu mendapati ramai yang datang dari dalam dan luar Perak, di samping sambutan yang cukup menggalakkkan.

Rozaliana Ramli,46, dari Ipoh berkata dia hadir bersama-sama rakan yang juga mahu mencari peluang pekerjaan lebih baik.

"Saya dapat tahu fasal karnival ini sebab saudara forward dalam Whatsapp sebulan yang lalu.

"Sekarang saya kerja sebagai Pembantu Peribadi di sebuah syarikat di Ipoh. Sambutan hari ini memang meriah, lagi pun karnival seperti ini memudahkan orang ramai," katanya.

Seorang lagi pencari kerja, V. Shativel, 36, yang bekerja sebagai jurutera awam di Kuala Lumpur berkata dia memilih untuk hadir ke karnival ini memandangkan mahu mencari pekerjaan di Perak.

Katanya sebelum ini dia sudah bermastautin selama 13 tahun di Kuala Lumpur, namun isteri anak dan ibu bapanya menetap di Ipoh.

"Kebanyakan yang datang sini boleh dapat pendedahan tentang kerjaya. Saya kerja di Kuala Lumpur tetapi asal dari Ipoh.

"Saya datang dengan ayah ke sini, harapnya boleh dapat peluang kerja baharu sebagai jurutera di sini," katanya.

Karnival itu turut menyaksikan kehadiran nama-nama gergasi seperti Sime Darby Industrial Sdn. Bhd., dan syarikat pembinaan antarabangsa Freyssinet. - Laporan Saloma- Peraktastic