TANJUNG MALIM - Kemajuan dan tahap intelek sesuatu bangsa terletak pada tahap penguasaan ilmu yang boleh dicapai melalui pendidikan yang berkualiti dan melalui khidmat bakti para guru yang berdedikasi.

Sehubungan itu, guru ialah insan berilmu yang berada dalam alam ilmu, berperanan sebagai perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu.

Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Zara Salim bertitah, para guru merupakan pendidik, mengambil tanggungjawab membimbing manusia menemui sinar kebenaran melalui ilmu.

Titah baginda, guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, turut berperanan sebagai pengasuh dan pembimbing, memberikan panduan dan teladan.

"Beta menzahirkan penghargaan kepada para guru yang telah berupaya memenuhi tugas berat yang dipertanggungjawabkan dalam keadaan kurang peralatan, baik dipihak pengajar, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar, terutama yang mendiami dalam kawasan akses Internet yang amat lemah dan terhad.

"Dalam semangat berpatah sayap, bertongkat paruh, para guru telah sedaya dan sebaik mungkin menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Para guru telah mempamerkan sifat istimewa yang luar biasa; sabar, tekun, gigih dan tabah," titah baginda.

Tuanku Zara bertitah demikian semasa berucap pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-23 di Dewan Tuanku Canselor Kampus Sultan Azlan Shah di sini pagi tadi.

Majlis konvokesyen tersebut yang bermula hari ini sehingga 25 Jun depan.

Titah baginda lagi, sejak 100 tahun lalu, bermula daripada penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1922, UPSI memiliki akar sejarah sebagai institusi pengajian tinggi yang diamanahkan untuk melahirkan graduan pendidikan.

"Para graduan lulusan daripada SITC membawa ke UPSI, memenuhi tanggungjawab menjadi guru di seluruh pelosok negara.

"Para guru diasuh menjiwai semangat pendidik yang ikhlas, semangat pendidik yang tekun dan semangat pendidik yang bersungguh, mengasuh dan membimbing anak-anak didik agar menjadi insan berilmu," titah baginda.

Sementara itu, seramai 6,606 graduan akan menerima ijazah dan diploma pada istiadat konvokesyen kali ini.

Sebanyak 141 akan dianugerahkan ijazah doktor falsafah; 683 ijazah sarjana; 3,611 ijazah sarjana muda; 189 Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta 1,982 dianugerahkan diploma.

Istiadat konvokesyen ini menyaksikan sembilan graduan akan menerima ijazah secara anumerta (penghargaan kepada waris graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka).