KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas pukat kenka di kedudukan 1.8 batu nautika barat daya Ban Pecah, Tanjung Piandang, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, rampasan dibuat hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penggunaan pukat kenka oleh segelintir nelayan di zon larangan.

"Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan pukat kenka yang dipercayai telah dipotong dan ditinggalkan berada di atas permukaan air.

"Tindakan nekad memotong pukat tersebut dilakukan oleh nelayan untuk melarikan diri bagi mengelak daripada diberkas oleh Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pukat yang ditinggalkan itu berjaya dinaikkan dengan bantuan komuniti nelayan tempatan dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 kerana meningggalkan peralatan menangkap ikan bagi mengelak berlakunya penyitaan ke atas bot.