IPOH: Polis Ipoh telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang didakwa terlibat dalam video memaparkan satu pergaduhan dipercayai berlaku di Jalan Kuala Kangsar dekat sini yang tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, lelaki berumur dalam lingkungan 50 tahun itu ditahan pada jam 3 petang semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, polis turut merampas sebuah motosikal yang disyaki ditunggang oleh suspek semasa kejadian untuk dijadikan sebagai barang kes dalam siasatan.

"Lelaki berkenaan ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

"Hasil semakan pihak polis mendapati suspek tersebut memiliki enam rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan, termasuk kesalahan jenayah narkotik.

"Pihak siasatan polis telah berjaya memperoleh perintah tahanan reman terhadap suspek tersebut selama tiga hari, bermula hari ini hingga Jumaat.

"Kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yahaya turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan sikap berhemah dan bertoleransi.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan sehingga melakukan tindakan tidak rasional yang menyalahi undang-undang negara.

Sebelum ini media melaporkan, polis mencari penunggang motosikal yang didakwa terlibat dalam video memaparkan satu pergaduhan dipercayai berlaku di Jalan Kuala Kangsar dekat sini yang tular.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kuala Kangsar arah Chemor pada jam kira-kira 10.15 pagi, Ahad lalu.