IPOH: Aktiviti pembinaan dan kerja menaiktaraf merupakan salah satu punca kepada isu longkang berhampiran tapak Gerbang Malam di sini, yang tular dipenuhi sampah sarap.

Puncak Emas Infra Sdn. Bhd dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya telah melakukan lawatan tapak hari ini di kawasan berhampiran lot kedai, bertentangan dengan tapak Gerbang Malam Ipoh.

Menurut Pengurus Seksyennya, Ir. Zainal Othman, hasil pemerhatian mendapati terdapat sampah sarap yang bercampur dengan sisa bahan binaan di dalam longkang tersebut.

"Telah tular satu video di media sosial Facebook berkenaan isu longkang berhampiran tapak Gerbang Malam yang telah dipenuhi sampah sarap.

"Video tersebut telah dimuat naik oleh orang awam pada pukul 4 petang semalam dan ia menjadi satu isu yang amat serius.

"Terdapat satu aktiviti pembinaan untuk menaiktaraf kawasan tersebut sedang giat dijalankan dan ia adalah salah satu punca utama kepada masalah ini," katanya pada Rabu.

Ujarnya lagi, sampah sarap itu hanya terkumpul di kawasan berhampiran lot kedai yang sedang dalam proses ubah suai atau dinaik taraf.

Zainal berkata kawasan jajaran yang berbaki (upstream), berada dalam keadaan baik dan terurus serta tiada sebarang halangan sampah.

"Hal ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut sehingga menyebabkan longkang tersebut dipenuhi pasir dan bahan binaan yang menghalang laluan air.

"Sekali gus pengaliran tidak dapat berjalan dengan sempurna, ditambah pula ketika cuaca hujan hingga menyebabkan sampah terkumpul di kawasan yang ditularkan," katanya.

Justeru beliau berkata, bagi mengelakkan masalah ini terus berlarutan Puncak Emas Infra Sdn. Bhd mengambil inisiatif untuk membersihkan longgokan sampah yang terdapat dalam longkang terbabit.

"Dicadangkan supaya kerja-kerja pembinaan yang berhampiran kawasan dilaporkan perlu menyediakan tong sampah roro (tampung buangan pukal).

"Ia bagi menguruskan dan mengumpulkan sisa binaan secara teratur dan kemas, di samping tidak menjadikan longkang sebagai tempat untuk membuang lebihan binaan," katanya lagi.