IPOH - MIC Cawangan Kampong Tawas telah menyantuni penduduk dengan menyampaikan sumbangan barangan dapur bagi sebagai tanda prihatin khususnya berikutan kenaikan harga barang.

Kira-kira 40 keluarga daripada kelompok B40 sekitar kampung itu menerima sumbangan berupa beras, minyak masak dan barangan keperluan lain.

Pengerusi MIC Cawangan Kampong Tawas, Manimaran Vadivelu berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu penduduk khususnya golongan warga emas serta mereka yang berpendapatan kecil.

Menurut beliau, sebahagian daripada sumbangan itu pula diterima daripada beberapa dermawan dan individu yang ingin sama membantu.

"Antara sumbangan berupa sepeket beras, minyak masak dan barangan dapur lain yang nilainya mungkin kecil tetapi sangat bermakna pada penduduk kampung.

"Kita akan menggiatkan lagi sumbangan secara bersasar iaitu khusus kepada kelompok yang benar-benar berdepan kesusahan," ujarnya selepas menyampaikan sumbangan di Dewan Rukun Tetangga Kampong Tawas semalam.

Agihan dijalankan oleh sukarelawan MIC Cawangan Kampong Tawas serta dibantu komuniti setempat.

Dalam pada itu kata Manimaran, lebih banyak program sentuhan masyarakat akan dilaksanakan oleh pihak MIC Cawangan Kampong Tawas melibatkan semua peringkat komuniti.

Antaranya seperti pertandingan sukan, pemberian alat tulis dan bantuan persekolahan, latihan kerja bagi suri rumah dan pemberian sumbang semasa perayaan.

Turut dirancang ialah sesi taklimat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menerangkan tentang kepentingan mencarum dan kebajikan golongan pekerja.