lan sejarah lebih 100 tahun yang juga mercu tanda bandar di sini, Paip Besar Gopeng wajar digazetkan bawah Akta Warisan serta dipulihara sebagai salah satu lokasi bersejarah negara.

Paip Besar Gopeng yang dibina pada tahun 1908 ini terletak bersebelahan jalan utama, dekat jalan Persekutuan di bandar Gopeng.

Bagi yang kurang arif tentang sejarah dan asal usul paip besar ini, ia sinonim dengan kepesatan serta perkembangan industri bijih timah di Perak amnya dan Gopeng khususnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata dia berasa terpanggil untuk memberi kesedaran kepada pihak berwajib tentang kepentingan mercu tanda itu.

Walaupun sudah diwujudkan papan tanda di sepanjang paip besar itu, di samping maklumat berkenaan sejarah pembinaannya namun menurut Nor Hisham ia belum memadai.

Tegasnya lagi, adalah menjadi harapan pihaknya supaya lokasi tinggalan paip itu diangkat dan diiktiraf sebagai geopark.

"Kenapa tidak ia diangkat sebagai warisan oleh Jabatan Warisan, sayang kalau ia lenyap dan rosak begitu saja tanpa penjagaan.

"Diharapkan paip besar itu dipulihara dengan sewajarnya, didapati ia juga belum digazetkan di bawah Akta Warisan.

"Bila sudah diwartakan maka ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibiarkan dan sebagainya. Jadi ada langkah untuk menyelamatkan paip itu," katanya.

Menyentuh serba sedikit sejarah paip besar, beliau memberitahu dahulunya paip air itu digunakan bagi tujuan perlombongan bijih timah.

Katanya lagi, ia dibina oleh The Mephen-Fergusan Pipe Co. Ltd., yang merupakan syarikat dari Eropah.

"Ia didirikan oleh Gopeng Tin Mining Co. Ltd pada tahun 1908, kemudian ditukar nama kepada Gopeng Consolidated Ltd. Keluasan kawasan perlombongan mencecah 3,543 ekar.

"Ia merupakan tapak pengeluaran bijih timah terbesar di Lembah Kinta sehingga operasinya ditamatkan pada tahun 1992, susulan harga bijih timah merudum sejak tahun 1985.

"Tak salah saya Pejabat Pos Gopeng sekarang pun asalnya merupakan pejabat syarikat itu," katanya lagi.

Jelasnya, panjang paip besar itu asalnya 13.6 kilometer, kemudiannya ditambah menjadi 15 kilometer.

"Sejak dulunya namanya memang paip besar dan fungsi utama untuk tujuan pengairan perlombongan.

"Kalau kita lihat garis pusat 14 inci bagi menghubungkan sumber air dari Ulu Geruntom dan Ulu Geroh dengan kawasan perlombongan di Gopeng.

"Kerja-kerja pembinaan dan mengangkut paip besi ini terpaksa menggunakan khidmat gajah kerana ketika itu masih belum ada pengangkutan moden yang sesuai," katanya lagi.

Menurut Nor Hisham, kawasan tersebut pernah dimasukkan dalam jejak warisan Gopeng dan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong yang berkunjung ke sini.

"Dahulu pernah dimasukkan dalam jejak warisan Gopeng, tetapi sekarang tidak pasti.

"Daripada segi persekitaran di situ tiada masalah sebab pihak Majlis Daerah Kampar ada pantau, cuma keadaan besi paip itu sudah terbiar dan berkarat," katanya.

Memetik maklumat yang terpampang di papan tanda di sini, batang paip yang tidak digunakan telah dilupuskan selain berlaku beberapa kes kecurian.

Setelah perusahaan melombong bijih timah dihentikan sepenuhnya, batang paip yang masih ada tidak lagi diinsurankan.

Keadaan ini mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya Persekutuan yang melintasinya.

Gopeng Consolidated Ltd. telah melantik kontraktor untuk merobohkan batang paip dan penyokongnya pada tahun 2010.

Bagaimanapun, kontraktor pelupus iaitu Syarikat Global Distinction Sdn. Bhd. telah mendermakan dua batang paip yang dipamerkan sekarang, masing-masing dengan panjang 30 meter kepada kerajaan negeri.

Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira paip ini sudah berusia lebih 100 tahun dan memainkan peranan utama dalam pengeluaran timah sebagai sumber utama negara pada masa lalu.