IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan melaksanakan kajian bagi meningkatkan kadar pengiraan had kifayah zakat di negeri ini.

Perkara itu dibuat selaras dengan situasi ekonomi sekarang yang kian mencabar, di samping penghapusan subsidi beberapa barangan asas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata perkara tersebut sudah dibincangkan di peringkat pengurusan MAIPk dengan jawatankuasa fatwa.

"Jumlah minimum kadar itu kita sudah ada, mungkin kita akan membuat satu persefahaman dengan ahli pengkaji bersama jawatankuasa fatwa untuk kita naikkan kadar minimum.

"Jadi tidak perlulah kita mengambil masa untuk membuat kajian semula.

"Dengan keadaan sekarang ini rakyat menempuh sosioekonomi yang makin mencabar.

"Bermula hari ini kebanyakan subsidi mula tiada, sudah tentu kesukaran di peringkat masyarakat terutama yang tidak berpendapatan tinggi," katanya.

Shahrul Azam berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, akan ada peningkatan dari segi bantuan bulanan kepada penerima seperti pendidikan dan modal perniagaan.

"MAIPk sudah mula melaksanakan had kifayah sejak 2009 dan dibuat berdasarkan keperluan dan perkembangan ekonomi semasa.

"Kita sudah membuat kajian sejak 2009, dan ia sudah dilaksanakan pada tahun 2012, 2014 dan terkini tahun lalu," katanya lagi.

Ujarnya lagi, semenjak pandemik COVID-19 melanda dua tahun lalu, banyak golongan jatuh miskin, dan dari situ mereka membuat kajian semula,

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, sebanyak RM141 juta jumlah agihan zakat tahun lalu dan dianggarkan meningkat sebanyak RM158.9 juta tahun ini untuk diagihkan kepada asnaf.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis agama Islam negeri-negeri disaran agar menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.

Menurutnya, pendekatan itu perlu dalam pengemaskinian data had kifayah sebagai langkah awal mengatasi pertambahan jumlah golongan miskin.