IPOH - Pasukan Petugas Khas Infra MCA Gopeng bersama syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. telah meninjau status pembaikpulihan jalan di Parkview Sanctuary, Bandar Cyber di sini baru-baru ini.

Tinjauan bersama itu bagi melaporkan perkembangan terbaru aduan ini serta memberi maklum balas kepada komuniti setempat.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting berkata, pasukan penyelaras itu ditubuhkan sebagai platform komunikasi khas untuk rakyat Parlimen Gopeng menyalurkan aduan terus.

Menurut beliau, semua aduan akan diselaraskan penyaluran kepada pihak pengurusan syarikat konsesi supaya aduan dapat diselesaikan dengan segera.

"Kategori keutamaan aduan tertakluk pada aspek keselamatan awam serta jumlah penduduk yang terjejas.

"Pasukan ini juga akan memainkan peranan dalam pemantauan dan penilaian agar aduan dapat diselesaikan secara efektif dan sempurna," ujarnya.

Penubuhan pasukan penyelaras infra ini juga sebagai saluran dua hala dan pihak MCA Gopeng sangat berterima kasih pada Puncak Emas atas kerjasama yang diberikan.

Bagi sebarang aduan dan pertanyaan, warga. Gopeng boleh berhubung terus menerusi WhatsApp pada talian 016-5605125.

"Mudah-mudahan segala aduan yang berkenaan dengan infra di Parlimen Gopeng dapat diselesaikan dengan pantas lagi efektif.

"Bercakap kosong memang bukan kelebihan MCA, tetapi menyelesaikan masalah rakyat tetap misi kami," tegas Cally.