IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata MoU itu sekali gus bertepatan dengan hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandar raya seni di samping menghormati hak cipta karya muzik.

"Memorandum ini secara tidak langsung membantu menjalinkan kerjasama strategik dan mantap.

"Di mana MBI telah melaksanakan usaha sewajarnya dengan memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) serta acara-acara persembahan awam di bawah anjuran MBI dan RTBI mendapatkan lesen yang sah daripada MACP.

"Kerjasama yang terlaksana ini menunjukkan MBI adalah badan pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak-hak pengkarya muzik Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoU di antara MBI bersama MACP, di Bangunan MBI, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan Pengurus Besar MACP, Mary Yap.

Rumaizi menegaskan, hak cipta perlu dihormati di mana muzik sebagai harta intelek dan diberikan ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkaryanya.

Ujarnya lagi, MBI akan sentiasa peka serta menyokong usaha memartabat karya seni anak tempatan, kerana ia akan menjadi sebuah warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya.

Sementara itu, M Nasir ketika mengulas lanjut berhubung perkara itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas usaha MBI menghargai karya muzik negara.

"Sebelum ini kita mungkin tidak ada MoU sebegini, kita tidak dapat apa-apa daripada aktiviti (karya muzik) yang berlaku di sini (Ipoh).

"Saya bagi pihak MACP sangat bersyukur kerana Datuk Bandar Ipoh sendiri yang merealisasikan serta peka dengan hasil golongan kreatif, yang sepatutnya dibela. Ini satu usaha yang sangat baik,"katanya.

Untuk rekod, MACP merupakan satu organisasi pengurusan kolektif yang mewakili pemunya hak cipta muzik seperti komposer, pengubah lagu, penulis lirik dan penerbit muzik sebagai ahli MACP.

Melalui mandat yang diberikan oleh semua ahli MACP, objektif utamanya adalah untuk membantu melestarikan hak ekonomi para pengkarya tanah air melalui pelesenan penggunaan muzik secara komersil, penyampaian kepada awam, penyiaran kepada awam atau persembahan awam.