IPOH: Sebanyak 10 program seni budaya dan warisan akan berlangsung di negeri Perak, bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.

Program Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak itu merupakan anjuran bersama di antara Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, kerajaan negeri Perak, badan bukan kerajaan (seni budaya) Perak serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, geran berjumlah RM1.18 juta diperuntukkan bagi menampung sebahagian kos program.

"Program ini merangkumi bidang budaya, seni visual, teater, muzik, sastera, kraf dan tari.

"Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya telah memperuntukkan geran berjumlah RM 1.18 juta melalui geran sepadan sektor kebudayaan kepada beberapa badan bukan kerajaan seni budaya.

"Sebahagian lagi kos program ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas Apresiasi Seni, Budaya dan Warisan Negeri Perak di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Nolee Ashilin berkata, program berkenaan diharapkan mampu memberi impak besar dalam usaha memulihara dan menyemarak aktiviti seni budaya pasca COVID-19.

"Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama yang baik dari pelbagai pihak, memandangkan usaha meningkatkan jati diri rakyat Malaysia menerusi seni, budaya dan warisan adalah tugas bersama.

"Pelaksanaan itu menjadi platform dalam meningkatkan sinergi dan kerjasama di antara penggiat sektor pelancongan dan kebudayaan.

"Ia sekali gus menjadikan Perak sebagai sebuah destinasi pilihan, seterusnya meningkatkan ekonomi pemain industri," katanya lagi.

Antara program yang bakal dianjurkan sepanjang bulan tersebut seperti; Festival Makanan Tradisional Warisan Negeri Perak, Temasya Budaya Negeri Perak, Festival Kraf Negeri Perak, Program Pior Perak- Jerayawara Art Trail.

"Ipoh Music Symposium ke-4, Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) ke-10, Festival Tari Malaysia Negeri Perak dan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak Negeri Perak, Pementasan Bangsawan: Hikayat Segenta Alam, Pementasan Teater Legenda: Sungai Manik Berdarah dan Akademi Teater Perak.