IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin Md@Daud meminta pihak pengurusan, Tasik Cermin Tourism Sdn. Bhd., mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi baharu dilantik, Maju Perak bagi menyelesaikan kemelut pengurusan Tasik Cermin, Simpang Pulai.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Pengarah Pembangunan Tasik Cermin Tourism Eco Park Sdn. Bhd., Siti Norlizawati Narawi yang mahukan pihaknya meneruskan kerja-kerja pembangunan Tasik Cermin.

“Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memaklumkan bahawa kontrak pengurusan Tasik Cermin yang terdahulu oleh syarikat konsesi Mansion Machinery Sdn. Bhd. (Mansion Machinery) adalah terbatal dengan sendirinya apabila didapati telah melanggar peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Apabila syarikat itu telah gulung tikar, secara langsung semua perjanjian telah terbatal termasuklah operator yang dilantik oleh Mansion Machinery itu sendiri.

“Kita telah melantik syarikat kedua iaitu Syarikat Maju Perak dan seharusnya pihak ketiga mengadakan berunding mengenai pengurusan Tasik Cermin. Pihak MBI tidak akan masuk campur tangan’, katanya kepada Ipohecho, sewaktu ditemubual baru-baru ini.

Jelas Rumaizi lagi, sewaktu pelantikan syarikat konsesi pertama, MBI tidak menerima sebarang maklumat menyatakan ianya telah digulungkan, sehinggalah pada bulan Mac 2022 MBI mengetahui syarikat itu telah digulungkan walupun sebenarnya syarikat berkenaan telahpun digulungkan pada bulan Julai 2021.

“Memandangkan syarikat itu tidak ada lagi dan semua keputusan yang telah dibuat dan dipersetujui sebelum itu dianggap tidak sah.

“Kita telah memutuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa pada April lalu, syarikat konsesi kedua yang sah dilantik ialah Syarikat Maju Perak. Diharapkan pihak Maju Perak boleh mengadakan rundingan ke atas mana-mana syarikat-syarikat yang berhajat mengusahakan Tasik Cermin.