IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menghantar pasukan sukarelawan yang terdiri daripada petugas pelbagai jabatan bagi membantu mangsa-mangsa banjir dalam kejadian kepala air di Baling, Kedah.

Semua persediaan telah pun dilakukan dan sedang mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa di lapangan.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, misi kemanusiaan itu digerakkan atas rasa tanggungjawab membantu penduduk di kawasan bencana yang ditimpa musibah.

Menurut beliau, penghantaran sukarelawan itu juga bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah tersebut khususnya kerja-kerja pembersihan.

"Kita telahpun bersedia dengan petugas antaranya daripada jabatan penguatkuasaan bersama kelengkapan bagi kerja-kerja membantu.

"Sebaik mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa di lapangan kita akan gerakkan sukarelawan MBI ini ke lokasi bencana," ujarnya kepada Peraktastic.

Jelas Datuk Bandar lagi, penugasan itu juga merupakan tanggungjawab bagi MBI demi membantu penduduk kampung di Baling yang terkesan dengan musibah.

"Insyallah MBI akan bantu, ini kerana kita semua bersaudara samada orang Ipoh, orang Kedah atau mana-mana negeri atas rasa tanggungjawab," ujar beliau.

Bencana banjir di Baling pada Selasa lalu dilapor mengorbankan tiga sekeluarga, termasuk seorang ibu hamil empat bulan di Kampung Iboi, selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras

Lebih 1,400 penduduk daripada 93 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sekitar Kupang.

Pada Disember tahun lalu, Datuk Rumaizi turut menggerakkan sukarelawan MBI untuk membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana banjir di Selangor dan Pahang.

MBI ketika itu menghantar seramai 23 orang anggota, kenderaan serta pek bantuan keperluan harian, khusus untuk misi bantuan tersebut.