IPOH - Pengoperasian dua buah lori sampah compactor baharu bukan sahaja melancarkan lagi operasi kutipan, malah dapat meningkatkan imej Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, ini kerana kebanyakan lori compactor sedia ada dalam keadaan uzur dan tidak kompetitif untuk dioperasikan.

"Ketika ini MBI mempunyai 19 buah lori compactor tetapi masalah kita banyak yang telah rosak dan tidak boleh bergerak.

"Jadi dengan ada dua lori compactor baharu ini kita dapat memperkemaskan lagi kecekapan operasi kutipan sampah dan pada masa sama meningkatkan imej Bandaraya Ipoh," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyempurnakan majlis pelepasan dua unit lori sampah compactor pagi tadi.

Menurut Rumaizi, MBI juga dalam perancangan untuk menambah dua lagi lori compactor menjadikan empat buah kesemuanya yang akan diterima secara berperingkat-peringkat melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM1.7 juta.

Selain itu MBI juga akan menambah lori-lori kecil bagi kegunaan operasi kutipan sampah.

"Kenderaan compactor ini memiliki piawaian Eropah dan lebih berkualiti berbanding jenis sama yang harganya lebih murah.

"Ini kerana kita sering terima aduan penduduk tentang pelepasan air lechet (air sampah) menyebabkan bau busuk.

"Jadi, lori compactor baharu ini dapat mengatasi masalah tersebut," ujarnya.