Ipoh, Kumpulan Compos Mentis dari Jabatan Unit Perundangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) muncul juara Quick Game berjaya membawa pulang wang tunai RM500.00 bersama hamper.

Ketua kumpulannya, Radin Amir Afifi Ahmad Aruani berkata beliau tidak menyangka sama sekali bahawa kumpulannya mampu melaksanakan cabaran yang diberi seterusnya menjadi juara.

“Tugasan yang diberi tidak semudah yang disangka namun kerjasama berpasukan dan saling mempercayai adalah kunci kepada kejayaan kumpulan kami.

“Permainan Tower Rangers iaitu menyusun nat menggunakan lidi dalam masa 3 minit sangat menguji kesabaran dan minda.

“Selain itu tugasan My Melodi juga menguji kreativiti kami. Setiap kumpulan diberikan tempoh dua jam dengan menggunakan 10 patah perkataan untuk dijadikan gubahan lagu berkaitan Perpustakaan Tun Razak (PTR) sebelum ia diadili oleh tiga orang juri”, katanya kepada Peraktastic ketika ditemubual selepas menerima hadiah yang sampaikan oleh Pengarah Kanan (Kewangan) MBI, Saidatul Akma Jamaludin dan Penolong Pegawai Takbir Perpustakaan Tun Razak (PTR), Rohayu Mohd Tahir di Perpustakaan Tun Razak (PTR) , di sini semalam.

Kumpulan Compos Mentis dianggotai oleh Radin Amir Afifi Ahmad Aruani, Mohamad Kushairi Nordin, Bani Khairul Asraf Ahmad Fauzi, Mohd Subhhy Ahmad dan Ali Shopian Badardin.

Naib johan disandang oleh kumpulan Glitters dan tempat ketiga kumpulan Engine.

Sebanyak 20 buah pasukan dari MBI telah menyertai sukan Quick Game anjuran PTR yang berlangsung di PTR bermula 9.45 pagi dan berakhir 2.30 petang.

Radin menambah, sukan Quick Game berjaya menyemai rasa kebersamaan dalam menyelesaikan tugasan secara berkumpulan disamping berpeluang mengenali PTR dengan lebih dekat sebagai \gedung ilmu yang menjadi ikon popular di bandar raya Ipoh.

“Program seumpama ini harus diteruskan dengan pengisian tugasan yang lebih menarik dan lebih mencabar pada masa hadapan. Sukan ini sememangnya memberi pelbagai manfaat kepada para perserta dan seharusnya diperluaskan lagi penyertaan kepada umum”, ujarnya.