IPOH: Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang mula beroperasi sejak Oktober tahun 2020 telah berjaya melaksanakan lebih 300 program keusahawanan.

Program berkenaan mendapat kerjasama pelbagai agensi di mana lebih 80,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pelbagai kategori dan industri menerima manfaat.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, STeP kini menjadi pusat rujukan dan tumpuan utama usahawan dan agensi di Perak.

"STeP sentiasa dilibatkan di dalam pelbagai program anjuran Kerajaan Negeri dan agensi di negeri Perak hampir setiap hari.

"Namun STeP yang hanya berstatus sekretariat ini mempunyai fungsi yang amat terhad dengan tenaga kerja hanya seramai sembilan orang pegawai termasuk kakitangan peminjaman daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

"Ini sememangnya memberikan kesan besar terhadap proses pelaksanaan, dan penyampaian kepada lebih 100,000 usahawan Perak serta lebih 50 agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menjawab soalan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Isnin.

Zainol Fadzi berkata, penting untuk menjadikan STeP sebagai sebuah agensi yang mempunyai bidang kuasa sendiri.

"Saya turut mengharapkan agar kerajaan negeri terutama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dapat membantu untuk mempercepat proses.

"Ia bagi membolehkan struktur organisasi STeP ini dinaiktaraf dengan pertambahan kakitangan agar fungsinya diperluas ke seluruh Perak," katanya lagi.