BATU GAJAH - Majlis pecah tanah pembangunan kilang baharu syarikat Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd. telah disempurnakan semalam di Kawasan Perindustrian Bemban di sini.

Pembangunan projek ini telah dikenalpasti secara langsung oleh InvestPerak dan akan dibangunkan dalam dua fasa dengan anggaran keseluruhan pelaburan bernilai RM100 juta.

Invest Perak dalam kenyataan memaklumkan, fasa pertama bernilai RM50 ialah pembinaan fasiliti baharu berkeluasan 37,000 meter persegi dijangka mencipta 200 peluang kerja.

Menurut kenyataan itu, fasiliti tersebut adalah bagi pengeluaran antara 20 to 24 juta liter padu cat setahun.

"Gabungan pengeluaran di sini dengan fasiliti sedia ada di Johor bakal meningkatkan permintaan kira-kira 10 peratus pengeluaran cat hiasan negara.

"Pembinaan fasiliti baharu ini juga sejajar dengan visi Smart Paints untuk menjadi antara tiga syarikat pengeluar utama cat di Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan Negeri sangat menghargai usaha dan hasrat pihak syarikat untuk membangunkan kilang baharu mereka di negeri ini.

Ia juga akan memanfaatkan sumber bahan mentah batu kapur dan kalsium karbonat yang banyak terdapat di negeri Perak untuk dibuat proses nilai tambah bagi pengeluaran produk akhir.

Sekali gus ini menggalakkan lagi industri hiliran kepada sumber mineral di Negeri Perak.

Usaha bersepadu antara InvestPerak, MITI, MIDA, UPEN, NCIA dan PTG akan digembleng bagi mengenalpasti pelabur-pelabur berpotensi dalam sektor industria mineral.