IPOH - Anugerah Anak Muda Cemerlang Parlimen Tambun diberikan kepada tiga penerima yang mana kejayaan mereka boleh dicontohi.

Mereka ialah Muhammad Syawal Md. Desa, Afzal Zainol Ariffin dan Muhammad Luqmaanul Hakim Mohd. Salahuddin atas pencapaian masing-masing.

Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, penganugerahan itu diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan DPPK Tambun kali ke-35 baru-baru ini.

"Alhamdulillah, Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun berbesar hati mengurniakan Anugerah Anak Muda Cemerlang Parlimen Tambun kepada tiga orang penerima.

"Tahniah kepada penerima anugerah dan ahli keluarga mereka di atas kecemerlangan yang membanggakan kita semua," ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.

Jelas Hafez, semoga pengiktirafan ini menyuntik semangat mereka menjadi insan yang terus memberi manfaat kepada ummah.


PENCAPAIAN PENERIMA

MUHAMMAD SYAWAL BIN MD DESA, 25 dari Kampung Tersusun Jelapang Baru, Manjoi telah mula menyertai Pertandingan Silat Olahraga Remaja pada tahun 2013 serta muncul sebagai Naib Johan dan dinobatkan sebagai pesilat harapan negeri Perak.

Beliau pernah memenangi Pingat Emas dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala TPM Edisi ke-5 (2014).

Beliau turut mewakili negeri Perak dalam SUKMA 2016 & 2018 dan kini berkhidmat sebagai Pembantu Jurulatih Silat Negeri Perak.

(2) AFZAL BIN ZAINOL ARIFFIN, 18 merupakan pelajar cemerlang SMK Jati yang berjaya mendapat keputusan 9A+ (semua subjek) dalam SPM 2021.

Beliau juga seorang yang aktif dan berbakat besar dalam teknologi komputer serta pernah menyertai pelbagai pertandingan peringkat negeri Perak seperti Stemdex Solar Cooker (2018), Maths Genius (2019) dan Echallenge Chess MSSP.

Lebih membanggakan beliau muncul Johan peringkat kebangsaan dalam Programming Competition E-Stream Wave (2021).

(3) MUHAMMAD LUQMAANULHAKIM BIN MOHD SALAHUDIN, 13, merupakan pelajar Kolej Genius Insan, USIM di bawah Program PERMATA Negara yang mana keluarganya tinggal di Klebang Restu, Ipoh.

Kejayaannya berjaya melepasi pelbagai ujian saringan amat membanggakan kita semua.

Beliau juga dinobatkan sebagai Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan dan SRAR Arraudhatul Ulum, Klebang Restu.

Sebelumnya turut muncul sebagai Johan Hafazan Ihtifal Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran JAKIM dan Naib Johan Hafazan Mahrajan Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran KPM.