MANJUNG - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengambil tindakan pembersihan pada sebuah rumah yang dipenuhi sampah barangan lusuh dan terpakai di Taman Bintang, Pantai Remis hari ini.

Kerja-kerja pembersihan yang bermula pukul 8.30 hingga 11.00 pagi dilakukan susulan aduan yang diterima daripada penduduk setempat.

Unit Korporat dan Perhubungan Awam MPM memaklumkan, ia berkaitan keadaan persekitaran rumah yang kotor dan dipenuhi sampah hingga menyebabkan kacau ganggu.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembersihan yang melibatkan kawasan hadapan dan tepi serta lorong belakang premis kediaman tersebut dibantu oleh sebuah lori kompektor, backhoe dan lori roro.

"MPM sebelum ini telah mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik rumah supaya membersihan kawasan rumah daripada sampah sarap tersebut.

"Kompaun sekali lagi dikeluarkan kerana gagal mematuhi arahan notis tersebut berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Kesalahan tersebut kerana meletakkan barang-barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam," ujar kenyataan itu.

Operasi pembersihan ini disertai 18 anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan 6 anggota Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM.

MPM memohon kerjasama masyarakat di daerah Manjung agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kediaman dan tidak mengumpulkan sampah sarap kerana boleh menyebabkan kacau ganggu.

Pengumpulan sampah juga dibimbangi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang mengakibatkan demam denggi.