MANJUNG - Sejak disahkan sebagai pesakit kanser payudara tahap empat April lalu, Hasrieyanti Abdul Rahim, 37, tiada pilihan selain perlu tabah untuk meneruskan kehidupan.

Dia yang juga ibu tunggal dengan seorang anak berusia 10 tahun sebelum ini bekerja di Johor Bahru, Johor tetapi mengambil keputusan pulang ke kampungnya di Batu 7, Jalan Lekir, Setiawan di sini.

Menurut Hasrieyanti, mereka sekeluarga hidup ala kadar kerana buat masa ini dia tidak bekerja serta tiada punca pendapatan.

"Saya sering sakit-sakit sebelum ini lalu membuat pemeriksaan di sebuah hospital di Johor Bahru dan disahkan menghidap kanser tahap empat.

"Disebabkan perlu perhatian sepanjang masa, kini saya dijaga oleh ibu di kampung yang juga seorang ibu tunggal," ujarnya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Nasib Hasrieyanti bagaimana pun mendapat perhatian Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Norhaslinda Zakaria apabila beliau turun padang setelah dimaklumkan tentang ibu tunggal itu.

Norhaslinda memberitahu, susulan ziarah tersebut beliau telah memanjangkan tentang perkara itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Manjung.

Katanya, hasil lawatan terbaru, pihak JKM Manjung telah menyumbang bantuan segera iaitu wang tunai RM300 kepada Hasrieyanti.

"Seterusnya JKM menguruskan permohonan bantuan penjagaan pesakit kronik terlantar bagi meringankan ibu yang menjaga beliau secara bulanan sebanyak RM500," ujarnya.

Sumbangan tersebut melegakan Hasrieyanti selain turut berterima kasih pada pegawai JKM Manjung iaitu Farhana Zainuddin dan Ahmad Firdaus Zainal Abidin yang menguruskan permohonan bantuan.