IPOH - Kecekapan operasi kutipan sampah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus diperkasakan menerusi penerimaan dua unit lori sampah kompaktor baru pagi tadi.

Pengoperasian kenderaan tersebut menjadikan sebanyak empat buah unit lori baru yang telah dibeli MBI bagi tahun ini

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, pembelian dua lori compactor itu bernilai RM797,000.

Menurut beliau, kos tersebut lebih murah berbanding kenderaan sebelumnya disebabkan perubahan beberapa spesifikasi.

"Sistem kompaktor buatan tempatan ini masih menggunakan sistem keselamatan asas semasa mengendalikan kenderaan tersebut.

"Ia beroperasi secara manual dan spesifikasi juga berbeza daripada model yang lancarkan baru-baru ini tetapi masih mengekalkan keselamatan orang awam dan anggota," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan dua kenderaan tersebut di pekarangan Bangunan MBI di sini.

Sistem keselamatan pada kenderaan ini memastikan operator menggunakan kedua -dua belah tangan untuk menjalankan operasi bagi menjaminkan keselamatan semasa operasi kutipan sampah.

Kenderaan ini juga mempunyai butang kecemasan bagi menyahaktifkan operasi jika berlaku kemalangan.

Dengan kemasukan lori kompaktor ini akan membantu kerja-kerja kutipan sampah MBI bagi mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih tahun 2023.


SPESIFIKASI KENDERAAN

Casis : Isuzu FVR 240 seberat 19 tan

Muatan: Jumlah isipadu lori 16 cubic meter. Mampu menampung kapasiti sampah sehingga 10 tan per trip.

Badan lori: Buatan tempatan oleh syarikat Green Concern Sdn. Bhd.

Ciri-ciri: Menggunakan ada pagar keselamatan awam (Truck Underride Guard) seperti model sebelum ini.

Kenderaan diperkukuhkan dari segi ketahanan terhadap asid sampah dan keluli tahan haus.

Menggunakan Hardox HiAce yang di import dari Eropah. Bahan keluli ini lebih lasak berbanding Hardox 450.

Keluli ini lebih kuat untuk menandingi asid sampah dan membantu memanjangkan jangka hayat lori ini dari 7 hingga 10 tahun dengan penjagaan yang betul.