IPOH - Lebih 40,000 tong sampah telah diagihkan secara percuma kepada pemilik kediaman dan perniagaan sekitar bandaraya ini
dalam inisiatif pengurusan sampah yang teratur.

Selain agihan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi tong sampah berwarna hijau, ia turut dilakukan oleh konsesi di bawah syarikat Majuperak Holdings.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, keseluruhannya sebanyak 230,000 perumahan dan perniagaan akan menerima tong sampah.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 190,000 adalah kawasan kediaman perumahan.

"Secara dasarnya kita telah agih sejumlah 40,000 tong sampah atau lebih 22 peratus daripada kediaman di bandaraya ini.

"Ketika ini proses agihan berjalan lancar termasuk menerusi usaha Ahli Majlis MBI di zon masing-masing," ujarnya kepada pemberita.

Agihan tong sampah percuma kepada penduduk ini merupakan inisiatif MBI bagi memastikan kawasan masing-masing bebas daripada sampah haram.

Menerusi pemberian tong sampah berkenaan, setiap rumah mempunyai tanggungjawab memastikan sampah tidak diletakkan di luar yang boleh mengundang kehadiran haiwan liar.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 14, Dr. Richard Ng mahu penduduk yang menerima tong sampah percuma supaya menggunakan pemberian tersebut sebaik mungkin.

Katanya, ini kerana di sesetengah kawasan masih ada segelintir penduduk yang meneruskan sikap lama iaitu menggantung sampah pada tiang elektrik, pintu dan pagar rumah.

Ada antara penduduk ini memberitahu bimbang tong sampah hilang sekiranya diletakkan di luar rumah.

"Memang bagus kita menjaga sebaik mungkin tong sampah tersebut tetapi fungsi tong sampah itu tidak ada jika disimpan di dalam rumah.

"Ini kerana tujuan tong sampah tersebut diberi supaya penduduk dapat menguruskan sampah dengan baik manakala kerja-kerja kutipan sampah juga dapat dijalankan lebih lancar," ujarnya.