LENGGONG - Insiden kemalangan tertumpah air panas semasa berniaga menyebabkan Radziah Mohd. Ali mengalami kecederaan pada kaki sehingga jari kakinya terpaksa dipotong.

Disebabkan itu, Radziah, 45, yang tinggal di Kampung Lawin di sini tidak dapat lagi berniaga yang selama ini menjadi sumber pendapatan sampingan keluarganya.

Kini, kehidupan dia bersama enam orang anak yang meningkat dewasa bergantung sepenuhnya hasil pekerjaan suaminya menoreh getah.

Menurut Radziah, dia sebelum ini berniaga kecil-kecilan menjual laksa dan nasi lemak di hadapan rumah.

"Kemalangan tertumpah air panas menyebabkan saya tidak boleh berniaga kerana tidak dapat memasak.

"Selepas menjalani pembedahan saya dinasihatkan berehat selain keadaan itu menyebabkan pergerakan terhad," ujarnya.

Bagaimana pun, keadaan Radziah mendapat perhatian Srikandi Negeri Perak apabila melakukan ziarah ke rumahnya baru-baru ini bagi bertanya khabar.

Kunjungan disertai Ketua Srikandi Negeri Perak, Puteri Holijah Muhammad Rali bersama beberapa ahli yang lain. Puteri Holijah juga merupakan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh, Zon 2 Hulu Kinta.

Pada kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan selain memberi kata-kata semangat kepada Radziah serta berharap beliau dapat berniaga semula.

Puteri Holijah juga akan berusaha untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya pada Radziah bagi meringankan beban keluarga itu.