Kraftangan anak-anak istimewa PDK Bota sentiasa dapat tempahan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 977
BOTA - Keadaan sebagai orang kurang upaya (OKU) bukan halangan untuk melatih golongan ini dengan kemahiran yang sesuai dengan kebolehan mereka.
Inilah yang dibuktikan oleh anak-anak istimewa peserta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titian Harapan Bota Kanan di sini.
Dengan bimbingan para petugas yang berdedikasi, kira-kira 25 anak-anak istimewa dewasa ini dilatih dengan kemahiran menghasilkan kraftangan iaitu hiasan seramik dan anyaman.
Anak-anak istimewa ini antaranya dalam kategori yang mengalami masalah pendengaran, pertuturan dan pembelajaran.
Menurut Pengerusi PDK Bota, Sabree Ahmad, para peserta dibahagikan mengikut kemampuan yang bersesuaian untuk dibimbing oleh para petugas.
Katanya, kraftangan seramik yang dihasilkan seperti bekas letak sabun, fridge magnet, tempat meletak lilin dan paling menarik ialah hiasan tuntung.
"Sepertimana kita tahu, tuntung merupakan identiti Bota di mana tempat menetas haiwan ini terletak di sini.
"Jadi kita lebihkan fokus menghasilkan pelbagai seramik tuntung sebagai hiasan.
"Apa yang membanggakan, hasil-hasil kraftangan PDK ini mendapat permintaan tinggi apabila laku ditempah lebih awal sebelum dapat disiapkan," ujarnya kepada Peraktastic.
Antara yang sering menempah hasil kraftangan anak-anak istimewa ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak menjadikan hiasan seramik dan kraftangan tersebut sebagai cenderahati.
Justeru, program menghasilkan hiasan seramik ini juga sebagai serampang dua mata iaitu memberi latihan kepada para peserta, menjana pendapatan dan menjadi tarikan pelancongan.
Bagaimana pun kata Sabree, penghasilan seramik hiasan dan kraftangan adalah mengikut kemampuan anak-anak istimewa tersebut.
PDK Bota dibuka empat hari seminggu iaitu peserta hadir ke sini dari pukul 8 hingga 12 tengahari dan tiada operasi pada hari Jumaat.
Sementara itu, petugas PDK, Rosnani Ishak, 54, memberitahu, dia membimbing sembilan peserta OKU bagi menghasilkan kraftangan anyaman seperti beg tangan, bekas tisu, tudung saji dan beg cenderahati.
Katanya, sebuah tudung saji mengambil masa tiga hari untuk disiapkan manakala beg tangan pula menggunakan material plastik jaring.
"Anggaran harga beg tangan ialah RM12 hingga RM35, bekas tisu (RM12) dan tudung saji (RM60).
"Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris antara orang kenamaan yang pernah melawat ke sini dan amat meminati anyaman tudung saji hasil kraftangan anak-anak istimewa ini," ujarnya.