IPOH: Selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berperanan penting dalam merancang serta melaksanakan pelbagai program bagi memenuhi keperluan penduduk.

Amanah itu selaras dengan penghayatan sambutan Maal Hijrah yang menuntut penghijrahan ke arah lebih baik, di samping melakar kecemerlangan dunia dan akhirat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata MBI mempunyai amanah dan tanggungjawab besar terhadap warga kota Ipoh tanpa mengira agama serta kaum.

"Sambutan Maal Hijrah membawa makna yang sangat besar dalam kehidupan kita dan peristiwa hijrah itu sendiri merupakan titik tolak kepada transformasi umat manusia.

"Dalam konteks ini, MBI perlu merancang dan melaksanakan pelbagai program komuniti dan pembangunan untuk memenuhi keperluan asas warga Ipoh, tidak mengira bangsa dan agama, lebih-lebih lagi mereka yang hidup dalam kesusahan," katanya.