Taiping- Strategi penyusuan susu ibu secara ekslusif mampu memperbaiki status pemakanan dan keselamatan makanan kepada bayi dan kanak-kanak kecil dalam fasa selepas-pendemik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali berkata peranan semua pihak amat penting bagi menggalakan ibu-ibu meneruskan penyusuan bayi secara eksklusif.

Seiring dengan tema Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini pengukuhan amalan penyusuan susu ibu dapat menangani masalah pemakanan bayi dan keselamatan makanan serta isu kesaksamaan.

Fokus sambutan pada tahun ini adalah untuk melindungi, mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu dari pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, sistem kesihatan, tempat kerja dan komuniti untuk wujudkan suasana mesra ibu dan sokongan penyusuan susu ibu.

Matlamat ini seiring dengan tema Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini iaitu Melangkah ke hadapan: didik & sokong penyusuan susu ibu!”, katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 di AEON Mall Taiping, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pemakanan KKM, Puan Zalma Abd Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan Inisiatif Penyusuan Susu Ibu dalam kerangka Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) antaranya Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi, Penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

Sehubung dengan itu, KKM juga memudahcara penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan susu ibu di setiap fasiliti kesihatan dan menjalankan latihan kepada anggota kumpulan sokongan ini.

Noor Azmi Ghazali turut menegaskan, beberapa objektif telah digariskan antaranya memaklumkan kepada masyarakat berkaitan peranan dalam memperkukuhkan sokongan penyusuan susu ibu terutamanya dalam garis masa 1,000 hari pertama kehidupan.

Setiap bayi dimulakan dengan penyusuan susu ibu sejurus kelahiran dalam masa 6 jam dari kelahiran serta memberi penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga 2 tahun seterusnya memulakan makanan pelengkap pada umur bayi 6 bulan.

Menjalinkan kerjasama yang erat diantara individu dan pelbagai pihak dalam menyokong penyusuan susu ibu. Antaranya, kakitangan kesihatan dan hospital yang terlatih di sektor awam dan swasta, kumpulan sokongan penyusuan susu ibu, NGO seperti BAIDURI, institusi keluarga terutamanya bapa dan pihak agensi lain.

Mengesa tindakan pengukuhan untuk melindungi keunggulan penyusuan susu ibu dalam dasar semua pihak antaranya kemudahan cuti bersalin, cuti paterniti dan kemudahan mewujudkan taska ditempat kerja”, ujarnya.