IPOH: Pertubuhan Jalinan Insan Prihatin Batu Gajah (JIP) menerima sumbangan sebuah van Toyota Hiace baru-baru ini bagi meneruskan kerja-kerja amal kebajikan di sekitar Perak.

Pengerusi JIP, Muhammad Don Abdul Rahman ketika dihubungi berkata penyerahan sumbangan van tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Datuk Ismail Safian di Pusat Jualan Toyota, Jalan Kuala Kangsar di sini.

Menurutnya lagi, dengan sumbangan kenderaan itu, dia dan pasukan JIP dapat memperluas lagi khidmat dan kerja amal dalam membantu golongan yang memerlukan.

"Alhamdulillah, semoga semuanya sentiasa dipermudahkan. Terima kasih Datuk Ismail Safian dan pasukan kerana membuat penyerahan van bagi mewakili pihak penyumbang.

"Kalau dulu yang mengikuti (kerja amal) akan duduk bersila di belakang (kenderaan) kini mungkin tidak lagi.

"Terima kasih tidak terhingga juga buat beberapa orang yang nama mereka tidak disebutkan disini. Tanpa mereka peristiwa hari ini mungkin tidak menjadi kenyataan," katanya lagi yang aktif membantu orang yang kurang bernasib baik.

Hadir sama dalam sesi penyerahan itu, Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang juga merupakan salah seorang ahli pemegang amanah YBU.

Kenderaan baharu itu antara lain dapat menjadi pembakar semangat serta memudahkan pergerakan mereka ke lokasi yang memerlukan bantuan.

"Selesai majlis penyerahan, tanpa berlengah JIP terus bergerak ke Taman Syukur Bercham bagi membuat penghantaran katil.

"Ia bagi memudahkan perawatan Encik Ang Tek Yoong, 80, kini terlantar kerana menghidap kanser prostat.

"Untuk makluman JIP bergerak hampir saban hari tidak kira siang atau malam,ada kederat kami bergerak .Ada ketikanya beberapa kenderaan digunakan serentak," jelasnya.

Sumbangan orang ramai juga dialu-alukan untuk JIP membeli peralatan membantu pesakit seperti katil, lampin dewasa,lampin kanak-kanak, consentrator oxygen (mesin oksigen), penyedut kahak,tilam angin dan kerusi roda.

"Sumbangan anda juga dapat membantu membiayai kos operasi kenderaan, penghantaran, pengambilan, pembaikan dan servis peralatan. Walaupun hanya RM10 ,ianya membantu," katanya.

Bagi yang ingin membantu bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke
PERTUBUHAN JALINAN INSAN PRIHATIN BT GAJAH
AC NO:Maybank 558118526922