GERIK - Program Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Darul Ridzuan 2022 telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad di Hentian Gerik, pada Jumaat lalu.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian perang oleh anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang penuh dengan semangat keperwiraan.

Ia disusuli pertunjukan kemahiran bela diri tempur tanpa senjata oleh anggota tentera.

Kemuncak majlis pelancaran tersebut ialah penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta melekat logo sambutan Kemerdekaan 2022 pada kenderaan.

Sepertimana pengajuran pada tahun-tahun sebelumnya, ia bagi menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan dalam kalangan rakyat.

Beberapa pengisian program disusun seperti Program Bicara Kemerdekaan secara dalam talian dan 'Info on Wheels Merdeka' untuk menambahkan ilmu pengetahuan sempena Hari Kebangsaan.

Segala maklumat aktiviti akan disebarkan melalui Facebook Jabatan Penerangan Negeri Perak dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Maklumat lanjut, layari laman web www.perak.gov.my dan semua platform digital Jabatan Penerangan Negeri Perak.