Sultan Perak berangkat ke MAHA 2022
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 699
SERDANG - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan berangkat ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Isnin lalu.
Keberangkatan tiba baginda turut ditemani DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di perkarangan Pavilion Perak sekitar jam 10.30 pagi disambut dengan persembahan tarian kebudayaan oleh Kumpulan Selendang Perak.
Baginda berdua telah diiringi ke Pavilion Perak yang dibina berinsipirasikan Istana Tepas Kuala Kangsar untuk melihat pelbagai pameran berteraskan teknologi dan industri makanan, kebudayaan, bazar dalam talian, produk pelancongan dan sebagainya.
Selain berkenan melawat ke Laman Mekanisasi, Laman Ternakan dan Laman Florikultur, baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke booth Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) di Hall A MAEPS Serdang.
Laman ini menempatkan pelbagai aktiviti dijalankan Perak SADC bersama pelbagai pihak bagi mendokong kelestarian dalam bidang sekuriti makanan.
Sultan Nazrin turut dipersembahkan dengan coffee table book berjudul Ladang Sawit PT Pinang Witmas Sejati: Pengalaman Perak SADC Mengubah Hutan Di Indonesia Menjadi Nukleus Sosial dan Ekonomi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Haji Yahanis Bin Yahya.
Hadir bagi mengiringi baginda ialah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Habis