KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan dua bot nelayan kelas B menggunakan pukat kenka di kedudukan 4.2 batu nautika barat daya Tanjung Piandang, di sini pada jam 6.50 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan kedua-dua bot tersebut dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin.

Justeru, mereka merapat kedudukan ke atas bot terbabit untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat tiga kru warga tempatan termasuk tekong berada di atas bot berumur dalam lingkungan 26 hingga 57 tahun, sedang leka melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat kenka.

"Pemeriksaan lanjut mendapati selain menunda di kawasan yang tidak dibenarkan, kedua-dua bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemilik namun bot terbabit memiliki lesen bot yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Sharenliza berkata nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Katanya lagi, Maritim Malaysia akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.