IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perak menyita 1,000 liter minyak diesel dari sebuah lori berjumlah RM45,850 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Iskandar Shah di sini semalam.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, kegiatan tersebut dikesan hasil pemantauan harian yang dijalankan di stesen minyak sekitar Ipoh.

Katanya, operasi yang bermula kira-kira 2.30 petang ini mengesan sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lori mendapati terdapat empat buah tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam di atas lori berkenaan.

"Saluran tangki asal minyak lori terbabit telah diubah suai salurannya dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

"Semakan mendapati pemandu lori berusia 24 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak.

Pihaknya juga mensyakii lori berkenaan mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kpd pihak industri.

"Sehubungan itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

"Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," ujarnya.

Orang ramai dan pengusaha stesen minyak diingatkan bahawa mana-mana pihak yang hendak membeli petrol dan diesel bagi tujuan selain daripada mengisi minyak ke dalam kenderaan perlu mendapatkan Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDNHEP berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini dan mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi kerajaan.

Aduan boleh dikemukakan melalui talian WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800.