IPOH - Warga Perak harus merasa bangga apabila enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tersenarai dalam 29 Bandar Berdaya Huni Tahap Tinggi 2021.

Senarai tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan PLANMalaysia.

Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Daerah Batu Gajah, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Daerah Grik dan Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Anugerah ini diberikan kepada 29 PBT melalui pengukuran Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) dibawah Agenda Malaysia Berdaya Huni.

Pelancaran Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya semalam.

Agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia merupakan gagasan yang diperkenalkan KPKT untuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12.

Agenda ini memberi penekanan terhadap kesejahteraan Keluarga Malaysia menerusi konsep the whole of Government dalam fungsi serta peranan KPKT.

Sempena dengan Majlis Pelancaran iDAM, satu sesi Dialog Perdana Putrajaya telah diadakan dengan tema 'Bicara Negara Berdaya Huni'.

Dialog ini telah mengupas aspek kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan bandar hijau, ekonomi, kesihatan awam dan tadbir urus.