IPOH: Persatuan sukan yang berkenaan perlu bertanggungjawab susulan keputusan pengguguran 12 acara dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadualkan berlangsung September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, implikasi kepada keputusan itu bukan sahaja merugikan para atlet yang bakal bertanding tetapi juga melenyapkan sasaran emas yang sudah dalam genggaman.

"Saya amat terkejut dengan pengguguran 12 acara ini, kerana sebelum ini sudah dinyatakan yang semua acara itu mendapat komitmen dari negeri-negeri.

"Tetapi setelah tarikh tutup, rupanya juga negeri yang tidak melaksanakan seperti apa yang mereka maklumkan. Ini satu kerugian kepada atlet dan saya amat kecewa kerana ia merugikan industri sukan kita.

"Sebenarnya ini peranan persatuan sukan untuk acara terbabit juga, sepatutnya mereka kena pastikan rangkaian di negeri-negeri ini dan angka minimum untuk enam penyertaan itu dicapai.

"Saya kecewa dengan persatuan (sukan) sebenarnya, bukan dengan Kementerian Belia dan Sukan. Saya harap persatuan-persatuab sukan agar lebih bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan 12 acara sukan yang digugurkan dalam Sukma baru-baru ini.

Sebelum ini media melaporkan 12 acara digugurkan daripada SUKMA kerana penyertaan negeri tidak menggalakkan dengan sukan terjun dilaporkan antara paling terjejas.

Antara sukan lain menjadi mangsa kepada syarat penyertaan itu adalah olahraga yang mana dimaklumkan enam acara akan dibatalkan berikutan penyertaan tidak mencukupi iaitu hanya membabitkan lima penyertaan.

Turut dilaporkan antara sukan yang mungkin digugurkan adalah 10,000 meter (m) jalan kaki, lompat bergalah, baling tukul besi, lempar cakera, lontar peluru dan lompat kijang wanita.

Sementara itu, Khairul Shahril menambah Perak bakal kehilangan dua pingat emas susulan acara sukan yang digugurkan.

"Perak memang menerima tempias berikutan pengguguran ini, kerana ada beberapa acara tentunya dalam olahraga yang memang kita jangka pasti dapat pingat emas.

"Dalam 12 acara itu kita ada wakil (atlet), saya dapat makluman yang ketua jurulatih olahraga kita pun zahirkan kekecewaan kerana keputusan itu," katanya lagi.

Temasya yang dijadual berlangsung di Lembah Klang dari 16 hingga 24 September itu mensyaratkan sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri mengambil bahagian bagi membolehkan ia dipertandingkan.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita ketika hadir majlis pelancaran Perak Food Hunter (PFH2.0) di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam & ‘Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan.