Ipoh : Klinik Bergerak Saringan Kesihatan Nasional (KBSKN), Jelajah Jejak Kanser Malaysia memberi manfaat besar kepada masyarakat dalam memantau tahap kesihatan khususnya mengesan penyakit-penyakit kronik ditahap awal.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Muhammed Radzi berkata KBSKN yang dikenali sebagai ‘Purple Truck’ mampu membantu meningkatkan aspek-aspek positif kehidupan masyarakat supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) yang berkoloberasi bersama MCIS Life kerana memilih negeri Perak sebagai lokasi pertama dalam memulakan program yang ternyata dapat membantu masyarakat diserata pelusuk.

“Perkhidmatan Purple Truck lebih menumpukan kepada masyarakat luar bandar yang mempunyai masalah logistik serta kurang berkemampuan untuk menjalani saringan kesihatan.

“Pasukan Purple Truck akan bergerak ke negeri-negeri di semenanjung Malaysia dan memberi perkhidmatan secara percuma kepada rakyat Malaysia bermula bulan Ogos ini. Pasukan bergerak itu, terdiri daripada kakitangan perubatan terlatih, berpengalaman dan sukarelawan penjagaan kesihatan yang komited,” katanya kepada Peraktastic sewaktu ditemubual selepas Majlis Perasmian Klinik Bergerak Saringan Kesihatan Nasional, Jelajah Jejak Kanser Malaysia, sempena acara Malaysia Women Marathon 2022 (MCIS Life) yang berlangsung di Ipoh Padang di sini hari ini.

Perasmian KBSKN telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Klinik kesihatan bergerak itu, merupakan trak 17-kaki yang telah diubahsuai sebagai platform untuk menganjurkan bengkel kesedaran dan kesihatan tentang penyakit kanser dan penyakit-penyakit tidak berjangkit.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud, Presiden NCSM, Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram dan Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Aezer Zubin.

Sementara itu, Dr. S.Saunthari dalam ucapannya berkata terdapat tiga misi yang menjadi teras utama perlaksaan Purple Truck selain membantu golongan sasaran tanpa mengira kedudukan dan ekonomi setempat.

“Misi pertama ialah melaksanakan saringan dan pengesanan awal kanser serta khidmat nasihat dalam mengenali tanda dan gejala kanser, pengambilan langkah awal dan perlu untuk menguruskan penyakit kanser.

“Kedua, pemeriksaan kesihatan asas seperti pengambilan berat badan, ketinggian, BMI dan tekanan darah serta pemberian vaksin penggalak kepada yang memerlukan.

Ketiga, menyediakan bengkel pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat luar bandar tentang kepentingan kesihatan dan mempelajari kemahiran khusus dalam pemeriksaan kesihatan kendiri,” katanya.

Purple Truck akan memberi tumpuan kepada tiga jenis kanser utama di Malaysia: kanser payudara, kanser serviks dan kanser kolorektal. Ujian untuk kanser kolorektal dan saringan awal kanser payudara akan dijalankan terus di lokasi manakala untuk kanser serviks, sampel akan diambil dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pesakit melalui telefon atau emel.

Menurut S.Saunthari, Purple Truck akan memulakan perjalanan bersama pasukan perubatan terlatih dan sukarelawan dari NCSM ke lokasi di seluruh semenanjung Malaysia. Antara lokasi utama perjalanan “Purple Truck” adalah Sireh Park di Johor bersempena dengan sambutan ulangtahun MCIS Life.

Peta dan jadual perjalanan “Purple Truck” akan dikongsi di laman sesawang NCSM (www.cancer.org.my) dan platform media sosial Facebook (@nationalcancersocietymalaysia) dan Instagram (@nationalcancersocietymalaysia)

Sebelum itu, Tuanku Zara juga berkenan dibawa melawat beberapa gerai jualan pameran MCIS. Tuanku diberi penerangan tentang bagaimana pemeriksaan kanser payu dara dilakukan dengan menggunakan kaedah terkini. -PERAKTASTIC-