MANJUNG - Satu lagi lokasi yang kaya dengan sumber alam iaitu Pulau Sembilan akan menjadi kawasan pertama dalam negeri Perak yang akan diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Marin atau Marine Protected Area (MPA).

Pulau Sembilan yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Pangkor yang terdiri daripada sembilan buah gugusan pulau-pulau kecil.

Majlis Hari Konservasi Pulau Sembilan ini telah dirasmikan oleh Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah semalam.

Ia turut dihadiri oleh Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato' Shaharudin Haji Nazari dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh dan Timbalan Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Farizal Mayor.

Konservasi dilihat bukan sahaja mampu membantu memelihara dan memulihara alam semula jadi, malah boleh dijadikan sebagai kawasan untuk dijalankan kajian serta pendidikan dalam bidang marin.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini ialah pembentangan hasil kajian Jabatan Perikanan Negeri Perak dan pembersihan pantai oleh sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan iaitu aktivis Sahabat Alam dan Persatuan Lions Ipoh.

Penyelam profesional dan anggota penyelam TLDM turut sama dalam program engan menjalankan pembersihan bawah laut di sekitar kawasan Pulau Sembilan.

Sementara itu, MPM dalam kenyataan memaklumkan, pihak berkuasa tempatan itu menyambut baik penganjuran program seperti ini kerana memberi mesej kepada rakyat mengenai kepentingan menjaga alam semulajadi.

Menurut kenyataan itu, malah untuk jangka panjang, langkah ini dapat membantu memelihara kelestarian hidupan marin. Apabila hidupan marin terjaga maka kehidupan manusia juga akan terjaga.

"Hasil laut akan sentiasa memberi manfaat kepada nelayan-nelayan dan ini akan membantu jaminan makanan (Food Security) di Malaysia.

"MPM bersedia untuk memberi kerjasama kepada jabatan-jabatan kerajaan yang lain bagi memastikan objektif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terjamin," ujar kenyataan itu.

Pulau Sembilan sememangnya terkenal dengan keindahan alam flora dan faunanya.

Menjaga alam semulajadi bukanlah terletak di bahu kumpulan tertentu sahaja malah perlu bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.